Untuk kelaman utama Era Akhir, klik ikon diatas.
SAYA
gembira dengan penyertaan yang besar daripada ahli Umno dan pemerhati. Saya
berpendapat bahawa kehadiran dalam mesyuarat agung pada tahun ini jauh lebih
besar daripada yang biasa.
Walaupun pada tahun ini tidak ada pemilihan, biasanya yang ramai hadir ialah
ketika kita mengadakan pemilihan, tetapi kali ini bila tak ada pemilihan. Jumlah
yang hadir ramai dan mereka bukan saja terdapat dalam dewan, di luar dewan di
tingkat pertama, yang bawah semuanya penuh sesak dengan ahli-ahli Umno.
Yang menarik ialah kehadiran golongan muda terutama ahli Puteri yang mungkin
sudah menjadi ahli atau pun yang belum menyertai. Sebab itu kita lihat selain
daripada baju merah Wanita terdapat pula baju ros Puteri, mewarnakan perhimpunan
kita. Barangkali ini juga akan digunakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan untuk program Warna-warni Malaysia.
Pada masa yang sama kita juga dapati golongan tua ramai juga yang hadir terdiri
daripada orang tua, yang berumur, termasuk orang perempuan dan lelaki yang
berumur.
Pada tahun 1999 pada waktu kita adakan pilihan raya, ramai juga wanita yang
berumur yang telah memisahkan diri daripada Umno kerana kononnya mereka sudah
tua dan ingin tentukan di mana mereka akan ditempatkan. Dengan itu mereka telah
beri sokongan kepada parti lain, tetapi hari ini nampak golongan ini juga turut
excited dan semangat dan mereka juga ingin bersalam.
Ini bermakna bahawa golongan muda dan tua sudah kembali bersemangat dan sudah
sedar akan perjuangan ini dan berapa pentingnya menyertai perjuangan ini. Pada
masa yang sama kita juga melihat jumlah peniaga yang menjual barangan semasa
mesyuarat agung ini sudah bertambah.
Mereka bukan saja memenuhi tempat yang dikhaskan bagi mereka, tetapi kita lihat
mereka sudah melimpah ke tempat lain sehingga di belakang ini ada mereka yang
jual beraneka jenis barang termasuk Wanita yang ada kawasan khas bagi mereka.
Saya sempat juga pergi melawat, tapi masalah saya bila nak beli orang nak bagi
free. Kadang-kadang saya jalan dulu dan selepas itu beritahu security beli
mereka dapat tahu.
Dalam dewan ini jelas sekali jumlah yang hadir besar, saya ingat sehingga ke
tingkat teratas sekali juga terdapat pemerhati. Pada hari ini, kita melihat
seperti juga hari pertama kita melihat kumpulan koir kita yang berbaju kuning
dan kelabu. Tetapi semasa mereka tidak berada di tingkat itu, tempat mereka
dipenuhi oleh pemerhati-pemerhati. Ini juga menunjukkan betapa ramai kehadiran
dalam mesyuarat agung 2002. Satu perkara yang menarik yang dilihat daripada
pemerhati ialah warna kopiah.
Kita tengok ada satu parti apabila dia ada muktamar kita nampak putih di
belakang tetapi kita punya perhimpunan ini warna kopiah ialah hitam dan ini
tidak bermakna kita kurang Islam kerana kopiah putih hanya pakaian saja.
Pegangan kepada amalan agama belum tentu kerana kopiah putih.
Yang merogol dan melakukan sumbang mahram bila ke mahkamah pakai kopiah putih
juga. Jadi janganlah kita terpengaruh dengan kopiah putih, jubah dan janggut dan
sebagainya sebagai bukti mereka berpegang kepada agama. Benggali Singh pun pakai
serban juga dan ada janggut yang lebih hebat daripada mereka.
Saya sebut perkara-perkara ini kerana ternampak jelas pada tahun ini semangat
Umno sudah dipulih. Dipulih dengan kuatnya. Kita sudah mengadakan barisan
pelapis daripada pemuda dan juga Puteri. Mereka yang akan mengganti kita supaya
Umno dan perjuangannya akan dapat kita teruskan. Kita khuatir kalau-kalau ahli
Umno membawa Umno bersama mereka apabila mereka jadi tua apabila meninggal.
Tetapi sekarang ini kita yakin walaupun golongan tua ini terpaksa memisah diri
daripada Umno dan terpaksalah akhirnya kembali ke rahmatullah Umno dapat
diteruskan juga dan perjuangan Umno yang tak selesai dapat diteruskan juga
supaya orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah, yang bermaruah dapat kekalkan kemerdekaan negara mereka sehingga
selama-selamanya.
Itulah harapan kita apabila lihat begitu ramai yang menghadiri mesyuarat agung
tahunan ini. Saya juga nak ucap terima kasih kepada semua yang berucap dan
menyatakan sokongan kepada diri saya sendiri.
Sepatutnya sokongan itu dinyatakan kepada parti kita. Namun demikian saya rasa
terharu dengan sebutan-sebutan dan kata-kata manis terhadap diri saya.
Saya juga terima kasih kepada Pak Lah terutamanya kerana menjadikan saya sebagai
contoh.
Sama ada kami layak jadi ketua atau tidak tak tahulah. Tetapi berasa sedap juga
bila dengar saya jadi contoh. Yalah saya ini satu isteri. Jumpa yang itu saja.
Sekarang ini susah sikit, bila kita pergi universiti sekarang ini penuntut
wanita lebih ramai daripada lelaki, jadi penuntut lelaki ada banyak pilihan.
Semasa saya di universiti ada satu itu saja. No choice, tetapi alhamdulillah
walaupun tak ada choice tahan lama juga sampai sekarang ini. Cuma saya nak
betulkan Pak Lah, saya ada tujuh anak, bukan enam dan sekarang ini saya ada 15
cucu, dua daripadanya dilahirkan pada satu hari dari 13 naik ke 15 cuma dalam
masa empat jam saja.
Berkenaan beberapa pihak yang kata saya tak perlu minta maaf kerana apa yang
saya katakan. Tetapi ini budaya kita, budaya orang Melayu. Kita selalu minta
jalan tak seperti orang lain. Tunduk sikit berjalan rendah supaya melindung kaki
kerana anggap kaki rendah dan tak harus tunjuk sama dengan orang lain. Tetapi
saya minta maaf secara ikhlas dan saya harap tak ada siapa saya memikir bahawa
tujuan saya adalah untuk meraih simpati.
Saya juga ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi pandangan
mereka kepada saya secara peribadi. Saya ingin sebut sikit berkenaan nama parti
kita. Nama parti kita ini sebenarnya PERKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu) tetapi kita lebih rela dan suka nama Umno. Ia baik kerana ia berkaitan
dengan iman. Kita baca dalam Al-Quran... “wahai orang-orang yang beriman”.
Inilah. Yang tak beriman ada di mana? Tak payah saya sebut. Nama dia Pas (Parti
Islam Semalaysia) saya tak tahulah nama Islam ini kerana dia melencong daripada
agama.
Dia bukan parti Islam, parti Aslam. Pas, Pas. Kalau dia suka P I S pula ... aah.
Benda tu kita tak tahulah, barangkali dia biasa mencarut dia tahulah apa dia.
Tahun ini kita beri penghargaan yang sewajarnya kepada wanita. Bukan kerana kita
nak jadi orang putih. Dalam budaya orang putih, dia kalau nak buat ucapan dia
kata ladies and gentleman. Tetapi apabila kita buat ucapan kita kata, tuan-tuan
dan puan-puan. Jadi Tuan dulu baru puan. Jadi kita tak gugurlah semua sekali
tinggal lagi apabila kita sebut nama jawatan-jawatan dalam Umno kita beri
penghargaan kepada wanita kerana dia lebih awal, jumlahnya lebih besar dan kita
tahu wanita memainkan peranan amat besar dalam menjayakan parti kita terutama
pada waktu pilihan raya.
Mereka mesti tebal muka untuk menjayakan tugas mereka kerana mereka perlu pergi
dari rumah ke rumah. Kadang-kadang pergi ke rumah orang Pas yang tak suka
melihat mereka. Namun mereka pergi juga untuk merayu undi, untuk berkenalan.
Saya percaya kalau kita ingin tawan hati orang dengan mengasingkan orang itu
daripada kita tak mungkin kita boleh menawan hati orang itu. Tetapi jika kita
mendekati diri kita orang itu kemungkinan orang yang tidak bersetuju dengan kita
juga akan lebih menghargai dan mungkin sebilangan mereka akan terima hujah-hujah
kita dan menyokong. Sebab itu peranan wanita baik dan berkesan.
Ucapan yang dibuat oleh wakil wanita menimbulkan soal sekarang ini kita
mempunyai puteri. Setelah kita tentukan peranan wanita sebagai perayu undi,
sebagai ketua kumpulan 10 dan sebagainya, apakah peranan puteri, memandang
puteri terdiri daripada golongan lebih muda dan ramai daripada mereka sekarang
lulusan daripada universiti, bukan wanita tidak lulus daripada universiti,
banyak yang lulus tetapi kerana kita tahu pada zaman sekarang ini golongan muda
amat senang sekali dengan teknologi maklumat (IT), sebab itu puteri akan diberi
tugas, kerja-kerja yang membabitkan penggunaan komputer dalam parti kita.
Mereka yang akan memasukkan data dalam komputer mereka yang akan buat analisis,
merekalah yang akan memberi maklumat kepada kita, kepada bahagian, kepada
pengundi semasa pilihan raya, saya rasa ini amat sesuai dengan puteri kerana
ramai daripada mereka terpelajar dalam bidang ini. Saya harap puteri dapat
menerima tugas ini dengan baik.
Masa bercakap ini saya ingat tentang apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali
daripada Kelantan. Dia marah sangat kenapa kalau isteri atau wanita diberi
satu-satu jawatan yang tinggi suami tidak boleh bersama dengan dia, katanya,
sementara si isteri berada di atas, suami ada di bawah, ini adalah satu
peraturan yang tidak kena, tetapi kadang-kadang kena juga. (Hadirin ketawa).
Orang Umno ini, lain kita kata, lain dia punya fikir, inilah sebabnya tulang dia
terlepas ke depan. Saya cuma nak kata, bahawa saya ada di sini, di atas pentas
ini sedangkan isteri saya ada di atas, sepatutnya saya naik di ataslah, baru
sama.
Berkenaan dengan perbahasan-perbahasan yang diadakan pada hari ini, hampir semua,
boleh kata semua, jurucakap menyuarakan sokongan mereka kepada ketiga-tiga usul
yang diperuntukkan, pindaan kepada perlembagaan, pendidikan dan juga agama dan
sosial.
Saya sedar bahawa bagi jurucakap untuk menyokong parti dan menyokong kerajaan
agak berat, tak seronok nak cakap, bila kita boleh hentam, masa itu yang seronok
sekali, nak sokong, payah nak hentam tapi kalau kita pandai-pandai, boleh juga
hentam.
Kita tengok wakil umpamanya, yang membawa usul agama dari Kedah, sedap juga,
dari Pulau Pinang, biasanya dari Pulau Pinang ini, jurucakap tak berapa pandai,
melainkan ketuanya sajalah, tapi pagi tadi bukan main, dia punya cerita
berkenaan fox dengan rabbit, seronok juga.
Jadi, bagi mereka yang pintar, termasuklah kawan saya Badaruddin, tidak kira apa
tajuk, sama ada perlu sokong ataupun tidak, macam-macam cerita boleh dibuat,
dalam kita gelak ketawa dengan dia punya cerita lucu, dia hentam kita, cukup
cekap, dia juga kata takkanlah semua yang ada di atas ini nak menganiaya orang
Melayu, tapi dia tambah sikit, melainkan satu dua, siapa makan cili, orang tu
rasa pedas.
Pendidikan menjadi satu isu yang amat menarik pada tahun ini sebabnya ialah oleh
kerana kerajaan memperkenalkan beberapa pendekatan baru yang luar biasa yang
pertamanya, berkenaan meritokrasi. Pemilihan kemasukan ke universiti berasaskan
kelulusan yang baik dan bukan kepada kuota.
Sebenarnya apabila kita umumkan meritokrasi ini, kita percaya bahawa bilangan
penuntut Melayu yang akan diterima oleh universiti akan berkurangan daripada 55
peratus sebagaimana yang ditetapkan tetapi entah bagaimana, kita dapati melalui
meritokrasi, jumlah yang diterima lebih daripada 55 peratus.
Ia meningkat kepada 69 peratus, satu peratusan yang sangat tinggi. Ini bermakna
bahawa selepas beberapa tahun kita mengamalkan sistem kuota, maka ramailah
penuntut Melayu yang layak tidak dapat diterima masuk universiti kerana kuota
sudah diberi .
Dengan itu, yang rugi ialah kita, tahun ini kita lihat dengan menggunakan
meritokrasi, jumlah peratusan kita sudah meningkat tetapi kita tidak boleh
mengalah, kita tidak boleh berasa senang hati dan complacent kerana pada tahun
depan juga angka yang serupa akan dicapai.
Kalau tak ada usaha sungguh-sungguh untuk mengejar ilmu, untuk mendapat
kelulusan cemerlang, kemungkinan tahun depan, peratusan Melayu ke universiti
akan berkurangan. Walaupun kita lihat tahun ini ia bertambah tetapi pertambahan
itu disebabkan oleh kita menggunakan sukatan tertentu. Kalau kita menggunakan
keputusan peperiksaan yang lain, mungkin ramai daripada kaum lain akan diterima
masuk ke universiti sebab itu kita harap kita tidak lepas tangan dan percaya
bahawa kita sudah pandai dan tidak perlu berusaha lagi.
Alhamdulillah oleh kerana jumlah peratusan Melayu yang masuk universiti tahun
ini lebih tinggi daripada tahun lalu dan perkara ini tidak menjadi masalah dan
tidak menjadi bahan cemuhan terhadap kerajaan tetapi kita juga perkenalkan dua
lagi perkara yang tidak di senang hati, iaitu membenar 10 peratus daripada bukan
bumiputera mengikuti kursus matrikulasi dan membenar 10 peratus masuk ke Maktab
Rendah Sains Mara.
Ada yang berpendapat bahawa matrikulasi adalah hak istimewa kita, sekolah rendah
sains mara adalah hak istimewa kita, kita mengadakan peruntukan atau kemudahan
itu untuk membantu kita tetapi kita harus ingat bahawa orang yang selalu dibantu
akan menjadi lemah.
Kalau kita tidak pernah berjalan tanpa tongkat, kita tak boleh berjalan apabila
tongkat diambil daripada kita, sebab itu kita harus belajar berjalan,
sedikit-sedikit tanpa tongkat, itulah tujuan kita dan saya berterima kasih
kerana pendekatan ini telah diterima oleh Umno dan ini akan kita laksanakan
dengan tidak membelakangkan kepentingan orang Melayu dan anak-anak kita.
Umno tidak sekali-kali menganiayakan orang Melayu dan kaum bangsa, berkenaan
dengan penggunaan bahasa Inggeris , saya sedar bahawa ia akan membawa banyak
masalah, bukan mudah memperkenalkan bahasa Inggeris dalam satu tahun untuk semua
darjah dan di sekolah tetapi kita akan cuba dengan pendekatan yang baru. Kita
sedar bahawa jumlah guru kita tidak mencukupi, tak ramai guru boleh mengajar
bahasa Inggeris tetapi kita ingin menggunakan guru bukan sebagai guru tetapi
sebagai fasilitator, orang yang memudahkan proses.
Kita akan sediakan kursus ataupun course ware dengan menggunakan pendekatan baru
iaitu semua pelajaran akan disampaikan melalui komputer dan segala perkataan
kalau diadakan satu ayat ataupun satu sentence yang ditulis dalam Bahasa
Inggeris, ditulis di atas papan hitam tetapi kita tak akan guna papan hitam
sebaliknya kita akan projek seperti kita projek dalam skrin di sini.
Semua ayat-ayat akan ditulis dalam bahasa Inggeris. Lepas itu kita akan dengar
bagaimana ayat itu dibaca dan lepas itu murid akan cuba menyebut perkataan
perkataan ini dan jika sebutannya tidak kena, kita boleh dengar sekali lagi dan
sekali lagi dalam bahasa yang digunakan oleh orang-orang yang pakar dalam bahasa
ini.
Kalau soalan dibuat dan murid membuat jawapan, kemudian daripada itu kita boleh
tentukan sama ada jawapan itu betul ataupun tidak dengan merujuk ke dalam
komputer kita jawapan yang betul dan bagaimana kita menyebut jawapan itu dan
kalau murid ingin bertanya dan guru ingin bertanya sesuatu soalan maka komputer
itu juga boleh menjawab soalan itu dengan tertulis dan juga dengan menyebut
soalan itu dengan bahasa yang betul.
Dengan cara ini kita boleh ulang belajar sesuatu perkataan, setiap satu sentence
berkali-kali bahkan kita boleh, jika kita mempunyai komputer, kita boleh guna CD
Rom untuk belajar, belajar bahasa ini.
Dengan pendekatan ini, kita percaya guru yang tidak pandai dalam Bahasa Inggeris
boleh juga menolong murid belajar bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, guru
juga akan dapat belajar bahasa Inggeris. Inilah pendekatan yang kita akan cuba,
sudah tentu akan ada masalah, akan ada apa yang mat salleh kata glitches.
Tetapi menjadi tugas kita untuk mengatasi masalah. Inilah pendekatan kita. Kita
kalau nak tunggu nak buat sesuatu secara proses biasa, mungkin tidak berjaya,
mungkin kita ambil masa yang lambat, di masa yang sama orang lain sudah pergi
jauh ke depan, sebab itu kita tidak boleh lengah-lengah, kita mesti buat lebih
pantas daripada biasa.
Untuk membuat kereta, motokar, orang Barat mula pada 1890, untuk sampai ke tahap
ini, mereka sudah belajar bagaimana membuat motokar lebih daripada 100 tahun
tetapi kita bermula pada tahun 1985, mengambil masa hanya tiga tahun untuk
mengeluarkan Proton Saga. Kalau kita nak ikut proses biasa, kita akan keluarkan
Proton Saga pada 2085. Sanggupkah semua yang dalam ini tunggu tahun 2085, baru
nak dapat Proton, kita kata mat salleh, kita lompat katak, cara inilah yang
selalu dilakukan oleh kita, kita selalu mempercepatkan proses dan apabila kita
cepatkan proses, tentulah ada masalah dan terpulang pada kita untuk kita mencari
jawapan kepada masalah ini bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini dan kita
telah buktikan kepada dunia, bahawa kita berkemampuan, menghadapi dan mengatasi
banyak masalah di negara berbilang kaum, sebenarnya kalau kita lihat di seluruh
dunia, tidak ada satu negara yang berbilang kaum yang aman dan tenteram tetapi
di Malaysia ini masih aman dan masih dapat dibangunkan sebab kita menggunakan
pendekatan cara kita sendiri, kita tidak tiru cara orang lain, kita semua tahu
apabila kita hadapi kegawatan ekonomi, ringgit kita dijatuhkan nilainya, dan
ramai yang berkata kita harus berpinjam dan menyerah kepada IMF untuk mengatasi
masalah kegawatan ekonomi. Semua negara di dunia ini sanggup ke IMF untuk
meminta pertolongan, untuk meminta pinjaman dan tunjuk ajar bahkan menyerahkan
negara mereka, untuk ditadbirkan oleh IMF tetapi kita hanya negara tunggal yang tidak pergi ke IMF, mencipta cara kita sendiri dan ramailah daripada mereka
yang meramalkan akan runtuhlah ekonomi Malaysia, hari ini mereka terpaksa telan
apa yang mereka kata kepada kita. Hari ini mereka mengaku bahawa cara Malaysia
mungkin boleh berjaya, sebab itu kita harus mempunyai kepercayaan pada diri kita
apabila kita menghadapi sesuatu masalah ataupun kita merancang membuat sesuatu
dan kali ini kita ingin memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai satu mata
pelajaran dan juga kita ingin juga menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar
Sains dan Matematik dan ilmu Hisab
Ada juga yang berkata kita perlu belajar bahasa-bahasa lain juga. Iye kita boleh
belajar bahasa lain tetapi untuk mempelajari bahasa Perancis, Sepanyol dan
Russia. Kita perlu kuasai bahasa Inggeris dulu kerana tidak ada buku untuk
mengajar kita bahasa Russia yang ditulis dalam bahasa Melayu, jadi kita guna
bahasa Inggeris sebagai satu jambatan untuk kita menyeberang ke arah yang lebih
maju.
Kita ucap terima kasih kepada pihak-pihak yang sedia menderma wang untuk
menambah jumlah pelajar Bumiputera di IPTS. Sebenarnya kerajaan sendiri sanggup
mengadakan dana yang mencukupi, yang penting sebenarnya bukan jumlah wang tetapi
jumlah calon yang ada, calon yang cukup layak untuk memasuki IPTS.
Saya harap anak-anak kita akan belajar dengan baik supaya mereka akan layak,
melayakkan diri mereka untuk masuk IPTS dan jika mereka tidak mempunyai wang
yang cukup, kerajaan sanggup memberi bantuan secara pinjaman ataupun secara
langsung.
Memang benar kalau kita pergi ke IPTA, kita bayar yuran yang rendah tetapi
sebenarnya itu adalah kerana kerajaan memberi subsidi yang amat besar. Kita
membelanjakan wang banyak untuk setiap satu daripada universiti-universiti kita
dan apa yang kita belanja untuk universiti adalah subsidi kepada
penuntut-penuntut kita.
Biasanya, 90 peratus daripada kos mereka masuk ke universiti kerajaan,
universiti awam ditanggung oleh kerajaan. Sebaliknya kerajaan tidak perlu
tanggung kos universiti swasta. Mereka mengadakan universiti ini dengan belanja
mereka sendiri dan dengan itu mereka terpaksa mengenakan bayaran yuran yang
lebih tinggi.
Oleh kerana kerajaan tidak perlu membiayai kos universiti swasta, kalaupun anak
kita pergi ke universiti swasta dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk
membayar yuran yang tinggi, kalau kita tambah supaya ia mencukupi pun, jumlahnya
kurang daripada perbelanjaan subsidi kerajaan kepada universiti awam.
Sebab itu kita akan menentukan anak-anak kita yang mempunyai cukup kelayakan ke
universiti swasta akan diberi sokongan wang yang mencukupi. Namun demikian, yang
mampu bayar sedikit, bayarlah sedikit, janganlah bergantung 100 peratus kepada
kerajaan. Macam juga bila kita pergi ke hospital. Kalau kita tak ada duit, kita
pergi hospital kerajaanlah. Itupun kena bayar juga sikit. Yang ada duit pergilah
ke universiti apa nama hospital private dan bayarlah sepenuhnya. Itu cara kita
supaya yang mampu mesti membayar, yang tak mampu kita tolonglah seberapa yang
boleh.
Berkenaan dengan desakan supaya pasti menguasai kerajaan dan dalam perkara ini
desakan dibuat supaya agensi-agensi dan syarikat-syarikat kerajaan diisi dengan
pengarah-pengarah dan eksekutif yang terdiri daripada profesional-profesional
daripada parti.
Sebenarnya kita telah pun melantik mereka ke dalam beberapa daripada institusi
dan syarikat-syarikat ini. Saya mempunyai senarai di sini tetapi tidak perlulah
saya sebutkan tentang nama-nama mereka tetapi memang pun apabila terdapat
ahli-ahli profesional dan juga ahli-ahli yang berkelayakan untuk menjadi
pengurus ataupun pengarah, kita telah melantik mereka. Pada masa hadapan kita
akan pilih lagi untuk mereka menduduki dalam badan kerajaan ini supaya mereka
dapat menentukan tidak ada penyelewengan berlaku.
Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak harus anggap mereka yang mungkin tidak
jadi ahli Umno tidak bersimpati dengan Umno. Mereka yang mengurus badan-badan
ini dan juga mereka yang berada dalam kerajaan, majoriti yang terbesar daripada
mereka menyokong Umno. Tahun 1999 keadaan berbeza sedikit kerana orang yang
semasa ia berada dalam kerajaan, bukan mempromosikan parti kita tetapi
mempromosikan dirinya. Apabila dia sudah tidak ada maka kecewalah ramai daripada
orang yang begitu memandang tinggi padanya dan mereka ternampak bersikap anti
kerajaan dan anti-Umno. Ramai yang meminta supaya saya mengambil tindakan
terhadap mereka, memindahkan mereka daripada jawatan ataupun dari tempat
tertentu. Saya minta maaf sekali lagi kerana saya tidak berbuat demikian.
Sebaliknya kita telah buktikan kebenaran kita dan juga kita buktikan bahawa kita
ikhlas dalam perjuangan kita. Hari ini sikap pegawai dan kakitangan kerajaan
sudah pun berubah dengan ketara. Dalam perhimpunan pada Hari Buruh, tanpa
desakan daripada kita sama sekali, pihak Ceupacs dan ahli-ahlinya telah berikrar
untuk menyokong kerajaan secara sukarela.
Saya tidak khuatir bahawa dalam pilihan raya yang akan datang, mereka akan
kembali memberi sokongan, kerjasama dan akan menjayakan segala dasar-dasar
kerajaan. Dalam menangani masalah seperti ini, janganlah kita terlalu gopoh
untuk menuduh dan memarah orang seperti itu kerana mereka salah faham.
Yang perlu dibuat oleh kita ialah menentukan bahawa mereka faham apa sebenarnya
yang berlaku. Insya-Allah, apabila mereka faham, pendirian mereka akan berubah
dan mereka akan kembali memberi sokongan kepada kita. Kita harus ingat dalam
pilihan raya, walaupun kita mempunyai jumlah ahli seramai 2.8 juta orang tetapi
kalau calon-calon Umno hanya disokong oleh ahli-ahli Umno, di kebanyakan tempat
kita tak boleh dapat kemenangan. Kita hanya boleh dapat kemenangan jika orang
yang bukan jadi ahli Umno memberi undi mereka kepada kita dan mereka akan
memberi undi mereka kepada kita kalau mereka anggap kita adalah sebuah parti
yang mendirikan kerajaan yang bertimbang rasa, yang tidak menzalimi sesiapa.
Sebab itu kita harus jaga hati orang, bukan saja yang ada dalam parti kita
tetapi yang berada di luar parti kita dan di antara orang yang terpenting ialah
pegawai dan kakitangan kerajaan kerana merekalah yang akan melaksanakan segala
dasar yang kita bentukkan.
Segala cadangan yang datang daripada mesyuarat-mesyuarat agung yang kita adakan
ini tidak akan dapat dilaksanakan oleh menteri-menteri dari Kabinet mereka.
Akhirnya pegawai dan kakitangan kerajaanlah yang akan melaksanakan apa yang
diputuskan oleh kita.
Saya bersyukur kerana tidak ada tanda mereka ingkar dan tidak mahu melaksanakan
dasar kita. Saya ucap terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan kerana
mereka mematuhi segala arahan dan dasar-dasar parti kita sebagai kerajaan.
Tetapi seperti biasa kalau Datuk Badaruddin kata ahli Majlis Tertinggi pun
mungkin ada satu dua orang yang tidak patuh, tak hairanlah kalau dalam kerajaan,
kita mempunyai satu juta kakitangan kerajaan dan pegawai kerajaan akan ada
berpuluh ribu barangkali yang tidak bersimpati dengan kita. Tetapi majoriti yang
terbesar, percayalah, bersimpati dengan kita.
Perbahasan dengan perkara agama dan perkara sosial ini amat menarik sekali
terutama ucapan daripada apa nama jurucakap daripada Kedah dan dia memperingati
kita bahawa Pas ditubuh di zaman British. Dan memang benar seperti kata Dr Hamid,
British selalu tinggal time bomb. Apabila dia tinggal sesebuah negara, dia
tinggal time bomb supaya apabila dia sudah pergi dan tidak memerintah lagi maka
timbullah bermacam-macam masalah dan dapatlah mereka berkata, lihat apabila kami
tidak memerintah, orang-orang ini tidak tahu bagaimana memerintah negara mereka.
Selalunya mereka mempunyai banyak masalah dan pembangunan tidak dapat dilakukan.
Itulah time bomb cara British. Di India ada Kandiani, di Palestin ditubuhkan apa
nama Israel dan di Kedah di Malaysia ini kita lihat Pas telah diluluskan oleh
pihak British. Dan tentu British tahu bahawa sudah ada Umno yang menjadi
jurucakap bagi orang Melayu, apa perlunya ada sebuah lagi parti yang begitu
sempit pandangannya. Tetapi Pas telah diluluskan oleh pihak British dan hari ini
kita lihat kesan daripadanya.
Merekalah yang memecahbelahkan orang-orang Melayu dan mengelirukan orang-orang
Melayu sehingga akidah mereka juga sudah hilang dalam banyak perkara. Sebab itu
kita lihat bagaimana penyokong-penyokong Pas tidak hairan dan terus menyokong
pemimpin mereka walaupun pemimpin mereka menghinakan Tuhan yang mereka sembah.
Kononnya, Tuhan itu samseng. Inilah Tuhan Pas. Orang samseng mana, saya tak
tahulah.
Tapi Tuhan Pas adalah orang yang samseng, bukan Tuhan saya. Tuhan yang kita
sembah ialah Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengasih, yang kita sebutkan tiap
kali kita memulakan sesuatu kita kata Bismillahirrahmanirrahim, Yang Maha
Penyayang, Yang Maha Pengasih. Ini Tuhan yang kita sembah.
Tetapi Tuhan yang Pas sembah, Bismillahi-samseng, hipenjahat, saya tak taulah
bahasa Arab. Samseng wa penjahat. Inilah Tuhan yang Pas sembah. Sebab itu dia
sesat. Sesat yang bukan-bukan la ni sampai dia nak apa nama nak dera orang yang
jadi mangsa mesti dihukum. Orang yang kaki perogol apa semua mesti dilepas. Saya
khuatir kalau undang-undang ini dilulus maka banyaklah kes rogol, sumbang mahram
dan macam-macam lagi berlaku di Terengganu dan Kelantan kerana nak cari apa nama
empat orang saksi ini tak boleh.
Dan kalau empat orang saksi ni dia duduk tengok saja situ buat apa. Takkan dia
tak nak tolong. Dia tengok orang kena rogol, dia tengok. Ini can aku jadi saksi.
Tengok gitu, ambil nota supaya dia kemudian dipanggil jadi saksi, ini nota ada.
Saya tengok betul-betul ni dengan mata kepala saya. Empat orang tengok. Tapi
kalau dia pula sembunyi diri dia, dia tengok saja diam-diam, orang tu tak tahu,
itu mengintip pula. Salah juga. Mengintip pun tak boleh.
Jadi macam mana. Ini bukan salah ajaran Islam, tidak. Salah undang-undang Pas.
Ini bukan hudud, ini undang-undang Pas, tak ada kena mengena dengan hudud sama
sekali. Ciptaan ulama songsang.
Yang tahu cuma nampak bila dia kata yang itu, dia nampak pangkah, dia boleh
dapat apa nama undi satu, nampak pangkah. Itu saja dia nampak. Itulah Tuhan dia.
Dia nampak kertas undi. Dia tahu nak menang, nak jadi Yang Amat Berhormat, lepas
itu boleh sesah semua kekayaan Terengganu apa semua.
Tuan-tuan dan puan-puan, saya telah tekankan tentang betapa pentingnya kita
belajar berdiri atas kaki kita sendiri, berdiri tegak tanpa tongkat, tanpa
apa-apa bantuan. Ini adalah dasar negara kita sebenarnya. Selama kita merdeka
ini, kita telah elak daripada bergantung kepada sesiapa.
Kalau kita perhatikan, kebanyakan daripada negara-negara membangun yang lain,
negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama dengan kita, kita dapati bahawa
mereka selalu bergantung kepada bantuan, kepada aid, kepada hutang daripada luar
negara.
Ada Club of Paris, ada Club of London, yang mana negara-negara maju ini akan
berkumpul setiap tahun untuk menentukan banyak mana bantuan akan diberi kepada
negara ini dan negara ini dan negara ini. Negara-negara yang baru merdeka,
negara membangun yang semuanya miskin belaka.
Mereka menerima bantuan ini bukan tanpa syarat. Apabila mereka menerima bantuan
banyaklah syarat yang dikenakan dan mereka dengan syarat ini hilang kebebasan
mereka. Sebab itu hari ini, hanya kita saja yang bebas menyuarakan pendapat.
Apabila ada rundingan dalam World Trade Organisation umpamanya, mereka tidak
berkata apa-apa, negara-negara yang membangun ini. Mereka tahu bahawa
syarat-syarat yang dikenakan, tafsiran-tafsiran yang dibuat berkenaan dengan
globalisasi akan merugikan mereka tetapi mereka senyap belaka.
Yang menghulurkan leher untuk ditetak ialah Malaysia. Kitalah jadi orang jahat
yang selalu menentang, tidak bersetuju dengan itu, tidak bersetuju dengan ini.
Lepas saja mesyuarat maka datanglah negara-negara kecil ini kepada kita dan
mereka berkata, kami bersetuju, kami juga teringin nak kata tetapi kami tak
boleh kerana kami hutang banyak, kami terima banyak bantuan, aid daripada
negara-negara maju ini dan sebelum pun kami datang ke mesyuarat ini, mereka
sudah menghantar orang-orang tertentu untuk memberi amaran kepada kami, kalau
tidak menyokong cadangan ini, maka mereka akan hentikan bantuan, akan menuntut
supaya segala hutang dibayar dengan segera. Bermakna bahawa mereka tidak punyai
kebebasan.
Tetapi di Malaysia kita telah mentadbir kewangan kita supaya kita tidak
berhutang daripada sesiapa. Sebenarnya kita tidak dapat apa-apa bantuan dari
negara-negara maju. Kita berdiri atas kaki kita sendiri. Ya... kita hutang tapi
kita hutang tak banyak kita hutang dari pasaran, hutang daripada bank. Setiap
kali kita hutang berpuluh-puluh bank, menyumbang untuk bon-bon kita dengan itu
mereka tidak boleh menguasai kita kerana mereka mempunyai kepentingan untuk
mendapatkan bayaran hutang mereka.
Kita pinjam juga daripada Jepun tetapi hutang daripada Jepun ni istimewa kerana
faedahnya begitu rendah sehingga jika kita tak hutang kita rugi, orang bodohlah
faedahnya 0.7 peratus bayaran 40 tahun. Tak apalah kita hutang orang 40 tahun
lagi nak bayar bukan kita. Inilah cara kita kita takan hutang daripada sesiapa
supaya kita tidak terikat dengan mereka dan dasar mereka. Kita nak bebas dan
merdeka secara benar merdeka bukan macam setengah-tengah orang cuma merdeka
daripada nama saja tetapi sebenarnya mereka tidak merdeka. Kita tahu
tekanan-tekanan yang dikenakan oleh IMF umpamanya jika kita hutang daripada
mereka.
Kita perlu mendapat hutang ataupun bantuan daripada mereka maka pembangunan
negara kita dibangunkan dengan cara yang tidak berkesan. Alhamdullilah sejak
kita merdeka kita dapat bangunkan negara kita dengan pesat sehingga kita dapat
menyimpan rezab kita yang cukup untuk membiayai lima setengah bulan kalau kita
tidak cukup duit.
Urusan kewangan kita diuruskan dengan bijak dan baik supaya kita tidak terlalu
boros berbelanja dan terpaksa selalu berhutang. Ya, kita ada keluarkan bon
tetapi itu bukan kerana kita perlu kepada wang tetapi kita nak tahu kita punya
standard kita diterima taraf mana. Apa kita punya kredit sebab itu kita
keluarkan bon. Wang kita banyak dalam negara kita kini. EPF , KWSP kita kita
kutip tiap-tiap bulan lebih daripada RM 1 billon tiap-tiap tahun lebih RM 12
bilion dana kita kutip RM112 bilion inilah adalah wang dalam negara yang boleh
pinjam jika kita perlu. Selain daripada EPF kita ada kita tabung-tabung lain,
termasuk Tabung Haji, Sokso dan lain-lain lagi. Kita menjadi negara yang
mempunyai tabungan yang terbesar sekali dalam dunia 38 peratus, jumlahnya adalah
38 peratus daripada KDNK kita.
Tak ada negara dalam dunia, dulu Jepun tapi sekarang Jepun sudah jatuh tetapi
bank kita ada tabungan yang tinggi dan kita tak perlu hutang daripada
negara-negara asing terutama daripada kerajaan-kerajaan yang akan menyukarkan
kita dengan dasar-dasar mereka. Tabungan ini amat penting kerana ia memberikan
wang cukup supaya kita tidak perlu bergantung kepada pada sesiapa dengan itu
kemerdekaan dan kebebasan kita terselamat.
Ini adalah dasar negara kita dan juga ini jadi dasar tiap-tiap warga kita.
Tiap-tiap seorang daripada kita mestilah berusaha supaya tidak hutang terlampau
banyak. Kalau kita belanja lebih tentu kita nak hutang kadang-kadang kita
terpaksalah. Kalau anak kita ke universiti kadang-kadang kita boleh dapat
biasiswa kadang-kadang tidak. Tapi seberapa boleh kita jangan hutang. Seronok
sangat nak hutang ni kerana ada orang berpendapat kalau duit kita hutang kalau
rugi tak patah bayar terutama kalau hutang Mara. Saya tahu satu orang yang kata
kepada saya. Saya tulis dalam buku saya, Panduan Kepada Peniaga Kecil. Siapa
pernah baca angkat tangan. Semua tak pernah baca? Dalam buku panduan peniaga
kecil ini saya bercerita berkenaan satu orang, satu orang kampung dia berhajat
beli kedai runcit mamak dalam kampung itu. Saya tanya dia, tanya ada duit ke ?
Dia kata duit adalah sikit tapi saya tak mahulah belanja lagi sayang . Dia nak
beli dengan duit hutang sebab kalau rugi itu bank punya tak payah bayar, kalau
duit dia habislah.
Ini orang yang bijak tapi kita tahu ada orang yang tak bijak, ini cerita orang
nak beli komputer. Semua org dah tahu? Tak payah ceritalah kut....saya tak faham
langsung, ini duit dia sendiri dalam EPF, bukan duit orang lain yang dia boleh
terima bila dia berhenti kerja bila dah tua. Akan dapat keluarkan duit EPF sara
hidup lepas berhenti kerja . Tetapi dia cukup pandai untuk keluarkan duit ini.
Kerajaan kata kalau nak beli komputer boleh pinjam duit EPF. Dia pun nak pinjam.
Dia sanggup keluarkan RM3000 dari EPF. Dengan duit itu bukan beli komputer dia
beli resit komputer. Dia bayar resit RM 2,000 dan RM1,000 saja untuk dia.
RM2,000 dia bayar kepada orang bekal komputer kepada dia. Resit kata dia sudah
terima sebuah komputer harga RM3,000. Esok dah bersara, esok tak de kerja, duit
tak de kerana dah belanja dulu. Ini kebijaksanaan sesetengah orang yang saya tak
faham la.
Saya ini terkenal sebagai seorang yang cukup kedekut daripada kecil lagi. Saya
dididik supaya, orang putih kata ‘neither a lender nor the borrower’ saya tak
bagi pinjam kat orang saya tak de pinjam daripada orang sampai sekarang. Saya
tak ada hutang. Hutang dengan kerajaan adalah, buat rumah tapi boleh bayar...
daripada bank saya tak ada hutang dengan sesiapa pun saya tak hutang. Ada orang
minta hutang daripada saya RM2,000 saya bagi dia RM 200 kira bukan hutanglah
kira you punyalah. Kalau nak berkelahi dengan mudah sekali bagi hutang .. bila
bagi hutang dia tak bayar esok nampak kita hujung jalan sana, dia pun pusing
jalan sini. Hilang satu kawan sebab itu kalau nak tanya saya punya pendapat kita
jangan terlalu mudah berhutang kalau hutang jagalah supaya kita dapat bayar
balik.
Di Malaysia ini dan saya sebutkan di sini kita selalu buat pendekatan berbeza
dengan orang lain. Banyak di Malaysia kita tak buat ikut orang lain. sejak
merdeka semasa kita perjuangkan kemerdekaan kita bertindak cara lain. Orang buat
pemberontakan kita cari jalan rundingan dan kerjasama antara kaum sehingga
akhirnya mencapai merdeka secara aman dan tenteram . Kita lawan Malayan Union.
Kita tidak memberontak kita tidak ada pasukan gerila kita hanya satu padukan
Melayu melalui Umno dan cara ini tentukan pihak British tidak melaksanakan
Malayan Union kerana dibantah Orang Melayu. Ini cara kita. Kita juga telah
melawan dengan pengganas komunis dan kita bukan saja guna tentera tapi tawan
hati dan fikiran mereka yang menyokong komunis. iaitu tawan hati dan mind of the
people. Dengan cara itu dapat menewaskan komunis. Kita ada bermacam kemudahan
bagi kaum yang berasa diri mereka tersisih dan dengan itu mereka bagi sokongan
kepada kita. Dalam politik pula kita sebagai sebuah negara berbilang kaum kita
tidak cuba merebut untuk kaum kita saja. Kita bekerjasama dengan kaum lain, tak
apalah dapat sebahagian daripada kek daripada dapat seratus peratus daripada kek
yang semakin lama semakin tipis . Inilah falsafah kita yang telah menghasilkan
banyak kemajuan kepada kita.
Dalam bidang ekonomi kita tidak memiliknegarakan apa yang dimiliki orang asing
sebaliknya selepas mencapai kemerdekaan kita sama-sama bangunkan negara melalui
pelaburan mereka dalam industri-industri kita . Dengan itu kita dapat ubah
negara kita daripada negara pertanian kepada negara perindustrian tanpa apa
masalah.
Dalam rusuhan kaum tahun 1969 ramai yang meramalkan itu adalah tamatlah negara
Malaysia kerana kaum-kaum tidak dapat hidup bersama sebaliknya kita telah
wujudkan wujudkan dasar ekonomi baru untuk mengagihkan kekayaan negara lebih
saksama dengan itu apabila berlaku kegawatan ekonomi sementara negara lain
rusuhan kaum berlaku, di Malaysia tidak ada rusuhan kaum berlaku.
Demikian juga dasar luar negara kita tidak menyokong negara kuat saja sebaliknya
kita memberi keutamaan kepada ASEAN yang pertama, negara Islam kedua dan
negara-negara berkecuali ketiga dan negara Komanwel keempat dan lepas itu
barulah kita adakan hubungan dengan negara lain. Kita juga menolak semua
ideologi sebaliknya kita memilih apa yang baik daripada semua ideologi dan
laksanakan dengan baik. Sebab itu gunakan cara komunis apabila kita jalankan
pembangunan, rancangan pembangunan lima tahun. Kita tidak tolak kapitalis kerana
kita percaya modal juga perlu untuk membangunkan negara. Dan kita tidak tolak
sosialisme yang menekankan kepada keadilan kepada masyarakat tetapi tidak
keseluruhannya. Kita juga negara terawal sekali yang melaksanakan penswastaan.
Walaupun banyak kritikan dilemparkan berkenaan penswastaan. Kalau tidak ada
penswastaan kita tidak akan dapat lihat lebuh raya Utara-Selatan dan lain-lain
lebuh raya di negara ini.
Inilah negara kita yang kita urus dengan cara kita sendiri tidak tiru sesiapa
atau mana pihak ataupun terikat pada satu-satu ideologi hingga tak dapat
bergerak. Apa yang kita lakukan ikut keupayaan kita, pragmatisme tetapi tidak
mengikat diri sehingga benda tak baik pun kita terpaksa lakukan kerana itu
prinsip ideologi berkenaan.
Tuan-tuan dan puan-puan, pengerusi tetap, ahli-ahli Majlis Tertinggi, para
perwakilan dan saudara-saudari. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk
mengumumkan (PM berhenti sekejap meneguk air sebelum meneruskan ucapan)
peletakan jawatan saya sebagai Presiden Umno .....(dalam nada sebak).... dan
semua jawatan yang dipegang saya dalam parti , Pengerusi Barisan Nasional dan
semua jawatan dalam Barisan Nasional.
(Dewan hingar bingar sehinggalah TPM membuat pengumuman meminta PM menimbangkan
kembali keputusannya. Ketika itu ahli MT mula mengerumuni PM dan memujuknya
menimbangkan semula keputusannya. PM kelihatan mengeleng-gelengkan kepala dengan
nada sebak dan berkata I have decided.... lama dah...)